Delicious LinkedIn Facebook Twitter RSS Feed

KONSEP PERBANKAN SYARIAH




Al-Wadiah (simpan dengan amanah / jaminan)
Al-Wadiah merujuk kepada perjanjian di mana pelanggan menyimpan wang di Bank dengan maksud supaya Bank bertanggungjawab menjaganya dengan selamat dan menjamin pengembalian wang tersebut apabila dituntut pada bila-bila masa.

Al-Mudharabah (perkongsian untung)
Al-Mudharabah merujuk kepada perjanjian di mana pelanggan menyerahkan modal kepada Bank dengan maksud supaya Bank melaburkan wang tersebut ke dalam perniagaan yang halal di sisi syarak dan pembahagian keuntungan akan dibahagikan kepada dua pihak tersebut mengikut nisbah yang telah dipersetujui semasa akad.

Bai-Bithaman Ajil (jualan bayaran tertunda)
Bai-Bithaman Ajil merujuk kepada penjualan barang atas dasar bayaran tertunda pada harga yang mengambil kira margin untung yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.

Bai-Al Inah (tunai segera)
Bai-Al'Inah merujuk kepada konsep di mana Bank menjual harta kepunyaannya kepada pelanggan secara harga tangguh. Kemudian, Bank akan membeli semula harta berkenaan daripada pelanggan dengan harga tunai.

Al-Musyarakah (usaha sama)
Al-Musyarakah merujuk kepada perkongsian atau usaha sama menjalankan perniagaan tertentu dengan motif untung, yang mana pengagihan keuntungan / kerugian dibuat berasaskan jumlah modal yang disumbangkan.

Qardhul Hassan (pinjaman ihsan)
Qardhul Hassan merujuk kepada pinjaman tanpa faedah. Peminjam hanya dikehendaki membayar jumlah pokok yang dipinjam, namun beliau boleh membayar jumlah tambahan mengikut budi bicara mutlak beliau sebagai tanda penghargaan.

Al-Ijarah Thumma Al-Bai' (sewa dan beli)

Merujuk kepada dua kontrak yang dipersetujui secara berasingan dan berturutan seperti berikut:
(i) Kontrak Al-Ijarah (sewa); dan
(ii) Kontrak Al-Bai' (beli). Di bawah kontrak pertama, pelanggan menyewa barang daripada Bank pada kadar sewaan yang dipersetujui untuk suatu tempoh tertentu. Bila tempoh sewaan matang, pelanggan menandatangani kontrak kedua untuk membeli barang tersebut dari pemilik pada harga yang dipersetujui.