Delicious LinkedIn Facebook Twitter RSS Feed

Ciri-ciri ajaran sesat

AJARAN sesat adalah satu ancaman kepada umat Islam dan negara sejak dulu hingga sekarang. Terbaru di Hulu Kelang, Selangor, seorang yang mengaku dirinya Rasul Melayu ditahan oleh pihak berkuasa agama negeri Selangor. Kemudian negara dikejutkan dengan “Kerajaan Langit” Ayah Pin di Besut, Terengganu yang sedang diambil tindakan termasuk merobohkan bangunan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu. Selain dua ajaran itu, ada lebih 20 ajaran sesat lain yang masih aktif di negara ini dan sedang dalam pemerhatian pihak berkuasa agama. Umat Islam khususnya di negara ini sewajarnya sentiasa berwaspada terhadap ajaran karut dan sesat yang sentiasa berusaha menyelinap masuk ke dalam diri dan masyarakat. Antara perkara yang perlu diberi perhatian oleh umat Islam ialah mengenal ciri-ciri yang sering ada dalam sesuatu ajaran berkenaan. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengenal pasti lebih 50 ciri-ciri ajaran sesat. Di bawah ini diterangkan 10 ciri utama ajaran sesat untuk dijadikan panduan agar tidak mudah terperangkap. 10 ciri ajaran sesat:
1. Mengaku Allah menjelma dalam dirinya: Ciri ini pernah wujud dalam kumpulan ajaran sesat di negara ini, antaranya ajaran Hasan Anak Rimau dan ajaran Tajjalli atau Hakikat Insan Ahmad Laksamana di Kelantan. Ajaran seperti ini pernah di bawa oleh Abu Mansor Al-Hallaj di Baghdad. Beliau telah dihukum bunuh oleh ulama. Ajaran ini sudah tentu bertentangan dengan ajaran Islam dari beberapa sudut. Antaranya meletakkan Allah bertempat, Allah mengambil ruang dan berpindah-pindah dan tuhan bersatu dengan makhluk.
2. Guru mengaku pegang kunci pintu syurga: Persoalan syurga adalah suatu yang ghaib, hanya Allah saja yang boleh menguasainya. Dalam hal ini tidak seorang pun boleh masuk campur tangan, apatah lagi untuk memegang kuncinya. Ciri sesat ini pernah dibawa oleh ajaran sesat Hasan anak Rimau dan ajaran Ayah Pin di Hulu Besut, Terengganu. Ajaran ini telah meletakkan alam ghaib boleh dikuasai manusia.
3. Pengikut saja dijamin masuk syurga: Menentukan hanya kumpulan mereka saja yang betul dan menafikan yang lain seolah-olah meletakkan bahawa Islam hanya kepunyaan pihak tertentu. Ini bertentangan dengan prinsip bahawa Islam adalah hak semua manusia dan sesiapa saja yang memeluk agama benar ini akan selamat. Inilah di antara penyelewengan dalam pegangan dan amalan tarekat sesat seperti ajaran Hasan Anak Rimau dan Ayah Pin, yang mengaku dirinya memegang kunci Syurga boleh menjamin pengikut-pengikutnya masuk syurga.
5. Percaya guru boleh tebus dosa dengan wang. Kepercayaan sebegini amat bertentangan dengan ajaran Islam, kerana agama Islam tidak pernah membenarkan sesiapa saja menggunakan wang untuk menebus dosa. Dalam Islam persoalan dosa boleh diampunkan Allah dengan memohon ampun dan taubat dengan cara dan syarat tertentu. Banyak ajaran sesat telah menawarkan pakej seperti ini untuk mengaut wang secara mudah tanpa dipersoalkan oleh pengikut ajaran berkenaan. Selain itu guru dapat mengikat hati pengikut agar tidak menarik diri dari kumpulannya.
6. Mengaku mengetahui perkara ghaib, dapat menilik nasib seseorang: Antara ajaran sesat yang mendakwa seperti di atas ialah ajaran Hakikat Insan, ajaran Ayah Pin ajaran Ilmu Ladunni dan ajaran Haji Banuar. Seorang yang mengaku mengetahui perkara yang ghaib dianggap telah kufur, mengikut satu fatwa yang disebut dalam kitab Fatawa al-Aqidah oleh Syeikh Muhammad bin Saleh bin Uthaimin, salah seorang anggota ulama di Fakulti Syariah kerana telah mengingkari dan membohongi. Begitu juga menilik nasib adalah amat ditentang oleh Islam.
7. Guru atau murid membuat pengakuan menerima wahyu: Wahyu adalah satu perkara yang khusus bukan umum, wahyu hanya diturunkan kepada hamba Allah yang tertentu saja iaitu para nabi dan rasul. Oleh yang demikian, orang yang mendakwa menerima wahyu itu sebenarnya adalah palsu dan pembohong, kerana tiada lagi nabi dan rasul setelah wafat nabi Muhammad saw.
8. Syeikh atau gurunya mendakwa mempunyai mukjizat: Kepalsuan dakwaan ini jelas sekali kerana dalam ajaran Islam tidak akan berlaku lagi sesuatu mukjizat ke atas seseorang pun selepas kewafatan nabi Muhammad saw.
9. Meminta pertolongan terus daripada orang mati: Memohon sesuatu urusan dari orang yang telah mati adalah suatu yang amat dilarang oleh agama Islam kerana ia suatu perbuatan syirik kepada Allah swt.
10. Mempercayai roh orang mati boleh beri pertolongan apabila diseru namanya: Ini juga suatu perkara yang tidak diajar oleh nabi. Ia adalah suatu perkara kufur kepada Allah swt. Adalah menjadi harapan Jakim dengan penjelasan ini umat Islam dapat menjadikan panduan agar dapat mengelakkan diri daripada terperangkap dalam ajaran sesat. – Rencana sumbangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
sumber: berita minggu 07 Ogos 2005