Delicious LinkedIn Facebook Twitter RSS Feed

Sakit Belakang Pinggang

Derita sakit pinggang Bersama Pakar Urologi Prof Madya Dr Zulkifli Md Zainuddin, Ketua Unit Urologi, Pusat Perubatan UKM, Cheras tanyadrxy@bharian.com.my 2010/05/22 DOKTOR, saya mengalami gejala sakit pinggang kira-kira dua bulan yang lalu. Saya terasa amat sakit setiap kali duduk terlalu lama terutama pada pinggang sebelah kiri. Kaki saya juga terasa sakit ketika memijak lantai. Saya ingin tahu apakah ini berbahaya atau cuma sementara. Saya mohon secepat mungkin saya diberitahu kerana saya sudah tidak tahan menanggung sakit. DARI apa yang saudara ceritakan, ada dua masalah kesihatan yang perlu dipastikan sebelum rawatan diberi. Ini membabitkan sama ada saudara mengalami masalah tulang belakang atau masalah batu karang ginjal. Dari segi simptom yang saudara hadapi, iaitu sakit pinggang yang menjadi lebih teruk jika saudara duduk terlalu lama serta kaki sakit semasa memijak, saya merasakan kemungkinan besar saudara mengalami masalah yang berkaitan dengan tulang belakang. Masalah yang paling sering berlaku ialah masalah slipped interveterbral disc atau prolapsed interveterbral disc. Dalam kedua-dua masalah ini, apa yang terjadi ialah pelapik yang terletak di antara tulang belakang terkeluar dan menekan saraf yang keluar di sisi tulang belakang. Ini boleh terjadi akibat trauma pada bahagian belakang, misalnya terjatuh atau cedera semasa bersukan. Seseorang itu akan mengalami sakit pada bahagian pinggang selalunya pada bahagian tengah tulang belakang. Sakit ini menjadi lebih teruk semasa bergerak, duduk lama, berdiri lama atau di dalam posisi tertentu seperti membongkok. Sakit ini boleh dikurangkan dengan baring atau rehat atau dengan memakan ubat tahan sakit. Sering juga sakit ini juga akan menjalar turun ke bahagian paha dan kaki. Pesakit selalunya menggambarkan kesakitan ini seperti aliran elertrik turun ke kaki. Pada peringkat yang teruk, ia boleh menyebabkan kebas-kebas pada bahagian paha dan kaki malah kaki juga boleh menjadi lemah dan lumpuh. Sakit yang berpunca dari batu garang ginjal juga boleh mempunyai tanda tanda yang sama iaitu sakit belakang yang teramat sangat. Bgaimanapun, ia akan dirasai pada bahagian di mana batu itu berada iaitu sama ada di sebelah kiri atau kanan tulang belakang. Sakit yang berpunca dari batu karang ini berbentuk memulas dan tidak ada kaitan dengan pergerakan atau posisi badan. Malah ia boleh berlaku ketika seseorang sedang berehat. Ada setengah pesakit akan mengalami loya dan muntah. Jika batu karang mula bergerak turun ke dalam ureter, sakit yang memulas ini akan dirasakan turun ke bahagian bawah abdomen. Pada kaum lelaki, sakit ini boleh dirasakan hingga ke buah zakar atau penghujung kepala zakar. Kebanyakan pesakit juga akan mendapati air kencing akan bercampur dengan darah. Ada juga yang mengatakan terdapat ketulan batu atau pasir dilihat keluar bersama-sama dengan air kencing .Kencing juga akan menjadi pedih dan tidak lawas sekiranya air kencing dijangkiti kuman. Untuk mendapat penyelesaian punca masalah sakit belakang saudara, saya ingin menasihatkan saudara berjumpa pakar orthopedik terlebih dulu. Beberapa penyiasatan seperti x ray dan mungkin Magnetic Resonance Imaging perlu dilakukan untuk mengetahui status sebenar tulang belakang saudara. Untuk mengetahui sama ada saudara menghadapi masalah batu karang ginjal pula, ujian seperti xray dan ultrasound ginjal perlu dilakukan. Bagi sesetengah pesakit yang disyaki mengidap masalah batu dalam ureter pula, siasatan seperti intravenous urogram (IVU) atau CTU perlu dilakukan. Info Kesihatan Kesan negatif akibat masalah tulang belakang 1. Osteoporosis (bagi wanita) 2. Stress 3. Migrain 4. Rabun dekat/jauh 5. Sakit mental 6. Lemah tenaga batin 7. Kurang aktif atau kurang stamina 8. Cepat letih 9. Cepat marah 10. Lambat berfikir 11. Sakit pinggang 12. Masalah buah pinggang Faktor Diska Tergelincir * Mengangkat barang berat tanpa mengikut cara atau kaedah yang betul. * Melompat dari tempat yang tinggi. * Terbabit dalam kemalangan jalan raya. * Kurang bersenam sehingga menjadikan tulang belakang tidak kuat. * Sering melakukan aktiviti lasak. Simptom * Sakit bahagian belakang pinggang. * Sengal dan kebas punggung dan kaki. * Lemah kaki. * Kesakitan berdenyut-denyut pada paha dan kaki. * Jika diska tengkuk terbabit, kesakitan akan dirasai sehingga ke tangan dan kebas kaki. Rawatan PESAKIT yang mendapatkan khidmat tukang urut, biasanya hanya pulih untuk seketika tetapi selepas beberapa hari, keadaan itu boleh menjadi bertambah serius. Justeru, pesakit dinasihatkan supaya menemui doktor dan menjalani pemeriksaan sinaran-X serta Magnetic Resonance Image (MRI). Melalui MRI, doktor dapat melihat dengan jelas dan mengenal pasti diska yang terkeluar dari kedudukan asal. Selepas disahkan diska menekan urat saraf, doktor akan menjalankan rawatan peringkat awal, iaitu rawatan konservatif ke atas pesakit. Pesakit dinasihatkan supaya banyak berehat, tidak melakukan kerja berat atau mengangkat barang berat. Pesakit juga diberi ubat-ubatan dan jika kesakitan beransur kurang, mereka dinasihatkan melakukan senaman ringan untuk menguatkan otot. Lazimnya, pesakit akan menjalani rawatan konservatif di antara tiga dan enam minggu. Bagaimanapun, jika tidak ada sebarang perubahan selepas tempoh itu, doktor akan menasihatkan pesakit supaya menjalani pembedahan discectomy. Melalui pembedahan ini, doktor akan mengeluarkan sedikit diska yang tergelincir supaya tekanan ke atas saraf dapat dikurangkan. Biasanya, selepas pembedahan, pesakit akan pulih dalam tempoh kira-kira dua minggu hingga satu bulan. Mereka juga berasa lebih selesa untuk melakukan aktiviti harian. Bagaimanapun, pesakit dinasihatkan supaya bersenam dan tidak melakukan aktiviti yang boleh menyebabkan diska tergelincir. Tahukah anda? SERAMAI 2.2 juta penduduk Britain dilaporkan menerima rawatan sakit belakang setiap tahun dan sebahagian besarnya didapati kurang cergas serta jarang bersenam. Menurut pakar biokimia Hospital Royal Free, London, Prof Donald Grieve, pekerjaan yang hanya memerlukan seseorang itu duduk terlalu lama, dipercayai menjadi punca sakit belakang, selain kurang bersenam yang menyebabkan lemah otot dan mudah mengalami kecederaan. Elak baring terlalu lama. Mengurangkan sakit belakang Berehat. Sebaik-baiknya berbaring di atas katil yang rata dan letakkan bantal di bawah lutut. Cara itu dapat mengurangkan ketegangan otot. Cuba lakukan kaedah ini tiga hari berturut-turut. Terlalu lama baring pun tidak elok kerana ia boleh menyebabkan otot menjadi lemah dan ini mendedahkan ketegangan. Mandi air suam Mandi atau berendam di dalam air suam boleh melegakan sakit belakang. Sebaik-baiknya rendam dalam air suam selama kira-kira 20 minit setiap hari. Bagaimanapun, wanita mengandung tidak digalak menggunakan kaedah ini kerana boleh menyebabkan keguguran. Menggunakan tilam yang sesuai Tilam lembik dan buruk boleh memburukkan lagi keadaan sakit belakang. Dapatkan tilam yang lebih elok untuk menjamin keselesaan dan kesihatan. Ambil aspirin Aspirin boleh dimakan untuk meredakan kesakitan, tetapi mesti mendapat pandangan doktor terlebih dulu kerana bimbang terhadap kesan yang boleh dihadapi disebabkan pengambilan itu. Relaks Tenangkan fikiran kerana sakit belakang juga dipercayai berpunca daripada tekanan emosi. Gunakan kusyen Sebahagian besar kerusi kenderaan tidak menepati ciri-ciri keselesaan dan apabila memandu terlalu lama, kesakitan akan bertambah teruk. Justeru, untuk memastikan kesakitan tidak berterusan, letakkan kusyen kecil di belakang anda. Berenang Berenang adalah senaman aerobik yang paling berkesan untuk meredakan sakit belakang. Jika tidak tahu berenang, berjalan pantas juga dapat membantu meringankan masalah. Mengangkat barang dengan cara yang betul Apabila mengangkat barang berat, pastikan barang itu diangkat dengan cara yang betul. Contohnya, dekatkan barang itu ke badan anda. Kawal berat badan Pastikan berat badan seimbang. Badan yang terlalu berat juga boleh memburukkan lagi keadaan sakit belakang. Anda musykil atau bimbang masalah kesihatan boleh menjejaskan kelelakian diri? Dr Zulkifli akan memberi pandangan dan membantu menyelesaikan masalah anda. Hantarkan soalan kepada Pengelola Ruangan Tanya Doktor, XY - Ikon Lelaki, Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau e-mel tanyadrxy@bharian.com.my.

Bersara 60tahun & Senario sekarang

Saban tahun isu kenaikan umur pencen sering dijadikan bahan untuk diperkatakan. Ada golongan yang menyokong dan membantah. Sekiranya kenaikan umur pencen dilanjutkan sehingga 60 tahun pelbagai implikasi akan berlaku. Secara totalnya, saya tidak bersetuju dengan cadangan yang diusulkan ini. Di sini disertakan hanya 2 sebab utama sahaja. Pertama, sebab yang paling utama adalah golongan muda akan menganggur lebih lama sementara golongan veteran yang berpengalaman ini akan bersara. Secara tidak langsung, kadar pengangguran akan meningkat. Sedia maklum majoriti golongan muda lepasan universiti atau kolej membuat pinjaman daripada pelbagai agensi seperti PTPTN. Mereka diwajibkan membayar sejurus tamatnya tempoh pengajian. Amatlah penting bagi mereka mendapatkan pekerjaan secepat mungkin selepas tamat pengajian bagi membayar balik pinjaman ini agar tidak dikenakan tindakan. Kesan lain, sekiranya golongan muda tidak dapat pekerjaan lebih awal akan sukar bagi mereka untuk membantu keluarga daripada segi kewangan khususnya. Kedua, kualiti pekerjaan golongan 50tahun ke atas akan sering dipertikaikan. Bukan untuk merendah kemampuan golongan ini tetapi realiti pada hari ini majoriti daripada mereka tidak dapat menunjukkan kualiti yang baik dalam bidang pekerjaan. Hal ini akan menjejaskan pelbagai pihak. Sebagai contoh, seorang guru yang berumur mengajar di dalam sebuah kelas atau seorang pensyarah yang mengajar di dalam satu dewan kuliah yang besar. Adakah ilmu yang disampaikan dapat diberikan seoptimum yang mungkin? Bedasarkan pengalaman dan perkongsian cerita, kebanyakan daripada golongan veteran ini mengalami kesukaran untuk mengajar dengan baik disebabkan hal-hal kesihatan. Contoh, suara tidak kedengaran, cuti sakit yang terlalu banyak, tiada keluangan masa dengan pelajar dan ada di kalangannya tidak dapat mengikuti arus dunia sekarang. Penggunaan alat teknologi menjadi perencat kepada proses pekerjaan mereka. Walhal, kebanyakan pekerjaan memerlukan penggunaan alat teknologi seperti komputer dan seumpamanya. Pengalaman sendiri, waktu pembelajaran banyak terjejas gara-gara masalah penggunaan teknologi yang tidak dapat dikendalikan dengan baik. ------------------------------------------------------------------------------ * Jika dilihat budaya di Malaysia sekarang, ada satu pihak yang selalu membuat sesuatu untuk mendatangkan kebaikan dan keuntungan kepada diri mereka sendiri semata-mata. Ada juga pihak yang sentiasa membantah pembaharuan yang ingin dilakukan. Namun, diri yang membantah itu tidaklah sehebat mana hanya mengikut rentak sesebuah pihak. Tidak salah sekiranya pembaharuan dilakukan bagi memajukan sesuatu. Justeru, tidak perlu melarikan diri untuk memajukan negara dan semua pihak. Hal-hal berkaitan dengan pendidikan kepada rakyat tidak seharusnya dipolitikkan sehingga berarak, berhimpun dan berkelahi seperti anak kecil. Cukup hanya kemukakan sebab, penyelesaian, idea dan fakta-fakta yang berkaitan. Pembaharuan yang dilakukan haruslah tidak semata-mata kerana untuk mendapat nama untuk dicatat dalam sejarah negara atau kepentingan sesuatu pihak. Kita perlu melihat 10langkah ke hadapan untuk berjaya dan maju bukan hanya melihat selangkah sahaja. Untuk menjadi maju, kerajinan, disiplin dan budaya tidak mengelak masalah atau cabaran perlu diterapkan setiap rakyat. Cukup-cukup dengan memperjuangkan sesuatu yang basi, memualkan dan sedarlah. Bersorak memang pandai, akhir sekali tanah sendiri tergadai. - azri.zulfadhli@gmail.com

Tipografi

Dalam dunia elektronik berkembang pesat ini, pilihan tipografi mementingkan ciri fleksibiliti dan kepantasan. Bedasarkan penyataan berikut, huraikan maksud: a) fungsi b) artistik c) fleksibiliti d) kepantasan Proses penyaluran maklumat yang lancar dan tepat bergantung kepada keberkesanan kaedah penyampaian maklumat itu sendiri. Tipografi berasal daripada perkataan Greek yang terdiri daripada maksud typos bermakna bentuk dan grapho yang bermaksud tulisan memainkan peranan yang penting dalam proses ini. Penyampai maklumat seharusnya memahami konsep tipografi bagi menyediakan bahan bercetak yang baik dan berkesan kepada pembaca. Tipografi juga adalah merupakan salah satu seni dan teknik dalam penyususnan taip bagi memperlihatkan kewujudan sesuatu bahasa. Elemen yang perlu ditekankan dalam konsep tipografi ini adalah daripada segi fungsi, artistik, fleksibiliti dan kepantasan. Kebolehan seseorang menerima dengan mudah mengenai perkara yang disampaikan oleh pemberi maklumat merupakan aspek yang penting dalam komunikasi. Fungsi tipografi adalah menghantar maklumat dalam perhubungan komunikasi. Sebagai contoh, ia boleh digunakan dalam bidang pengiklanan dan seumpamanya .Maklumat yang disampaikan dalam bentuk teks perlulah mudah dibaca dan difahami oleh orang ramai. Pelbagai maksud boleh disampaikan dengan menyusun taip dalam sesebuah maklumat yang dipersembahkan. Keberkesanan penyampaian maklumat atau sesebuah komunikasi yang menggunakan medium teks bergantung kepada penggunaan konsep tipografi itu sendiri. Fungsi tipografi perlu difahami dan diteliti terlebih dahulu sebelum menggunakannya dalam kehidupan seharian agar penyampaian maklumat menjadi efektif. Bagi menjadikan proses penyampaian maklumat itu berkesan, nilai artistik atau keseniaan perlu digunakan sebaiknya untuk menarik perhatian pembaca. Daya kreativiti seseorang dalam pemilihan taip dan penyusunan taip diguna pakai untuk menjadikan sesebuah maklumat itu menarik. Penyedia maklumat perlu mengambil kira ciri-ciri taip yang hendak digunakan bedasarkan konsep atau jenis maklumat yang ingin disampaikan. Antaranya adalah ukuran taip, gaya taip dan susunan baris. Ukuran taip dalam maklumat akan memisahkan perkara yang penting dan kurang penting. Sebagai contoh, bagi mempromosikan sesuatu, perkataan yang menarik pembaca seperti “promosi”, “murah” dan seumpamanya perlu dibesarkan bagi meningkatkan daya kelihatan sesebuah maklumat tersebut. Kesesuaian dalam pemilihan konsep tipografi dalam penyaluran maklumat merupakan aspek penting fleksibiliti tipografi itu. Konsep yang dipilih haruslah menepati dan bersesuaian dengan maksud maklumat yang ingin disampaikan kepada pembaca. Sebagai contoh, sekiranya maklumat yang disampaikan berunsurkan alam semula jadi, pemilihan taip haruslah mudah dibaca dan difahami maksudnya. Susunan baris dalam taip juga perlu ditekankan agar pembaca mudah mendalami maksud yang ingin disampaikan. Selain itu, kesesuaian konsep tipografi yang dipilih perlulah bersesuaian dengan latar belakang pembaca seperti budaya, umur dan sebagainya. Perkembangan pesat teknologi mementingkan kepantasan penghantaran maklumat dalam sesebuah komunikasi. Oleh itu, penggunaan konsep tipografi yang baik menyumbang kepantasan pembacaan maklumat yang ingin disampaikan. Sebagai contoh, muka hadapan sesebuah novel di pasaran. Perkara yang utama diberitahu adalah tajuk buku tersebut. Justeru, amat penting pemilihan saiz yang bersesuaian digunakan pada muka hadapan novel tersebut. Ianya perlu agar pembaca dapat mengetahui tajuk novel tersebut dengan sekali imbas sahaja. Penggunaan konsep tipografi yang baik dapat menyumbang kepada tahap kepantasan pembacaan sesebuah maklumat yang disampaikan. Konklusinya, penyampai maklumat haruslah mendalami, memahami dan mengaplikasikan konsep tipografi dengan baik dalam proses penyampaian maklumat atau sesebuah komunikasi khususnya menggunakan teks. Pengaplikasian yang baik dapat meningkatkan mutu sesebuah komunikasi yang wujud. Penyaluran maklumat kepada orang ramai akan berjalan dengan lancar dan efektif dengan menggunakan konsep tipografi yang baik. Seterusnya, sesebuah komunikasi yang menggunakan teks akan lebih berkesan dan bermakna kepada semua pihak. -ozcas

Konsep Pengujian, Pengukuran dan Penilaian

Serba sedikit mengenai Konsep Pengujian, Pengukuran dan Penilaian. Layan dlu yop... *ni pun donlod kat ternet... link donlod... --> http://www.4shared.com/document/Z0K9ry44/MODUL_4_4A.html?